Khamis, 22 Disember 2011

Had Keuntungan Perniagaan Dalam Islam


Makcik karipap: Ustaz, betul ke saya tak boleh jual lebih sikit?
Saya: Ikut akak lah nak jual berapa, selagi mana ada orang nak beli. Kenapa?
Makcik karipap: Diorang la, orang-orang atas tu kata saya tak boleh jual ambil untung lebih 100%. (Merujuk kepada bangunan pejabat)
Saya: Akak dah kena dah ni. Dalam Islam, ikut akak nak jual berapa-berapa pun. Jual mahal, orang mungkin tak mahu beli. Jual murah, akak pulak tak untung. Nak pusing modal lagi. Akak nak bagi makan minum anak lagi. Jadi, pandai-pandai akak nak tentukan harga yang sesuai. Kalau dah memang kena naikkan harga, nak buat macam mana.
Makcik karipap: Betul ke ni? Lega hati akak.
Saya: Betul. Nanti kalau ustaz A datang beli, akak boleh tanya dia juga.
Begitulah yang berlaku dalam masyarakat. Gaji besar, kereta besar tetapi mahu beli karipap murah. Seolah-olah makcik karipap tidak mahu gaji besar dan kereta besar macam mereka juga.
Kita jangan sampai mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram. Dua-dua dilarang dalam Islam.
Had Keuntungan Perniagaan Dalam Islam

Resolusi fatwa no 46 (8/5)

Akademi Fiqh OIC yang bersidang di Kuwait pada 1-6 Jamadil Awwal 1409H / 10-15 Disember 1988 memutuskan:
1. Prinsip asas al-Quran dan as-Sunnah adalah setiap individu bebas berjual beli berdasarkan prinsip dalam surah an-Nisaa’ ayat 29:
Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan harta sesama kamu dengan cara yang salah kecuali dengan jual beli suka sama suka
2. Tidak ada had keuntungan atas seseorang peniaga dalam sesuatu transaksi. Secara umumnya bergantung kepada peniaga, industri, konsep perniagaan dan barang jualan. Peniaga juga perlu menitik berat etika perniagaan Islam yang sewajarnya
3. Dalam perniagaan, Islam melarang perbuatan-perbuat jahat seperti penipuan, pemalsuan, menyorokkan maklumat penting, monopoli yang memberi kesan buruk dalam masyarakat.
4. Kerajaan juga tidak boleh terlibat dalam menetapkan harga sesuatu barang kecuali dalam keadaan tertentu (seperti untuk memecahkan monopoli, kartel perniagaan yang berpakat menaikkan harga). Dalam keadaan tersebut, kerajaan perlu masuk campur untuk menghapuskan perbuatan jahat tersebut.

Penulis:


Suzardi Maulan {Pakdi}, Islamic Financial Planner (IFP)TM, Principal Consultant AFIQ Training & Advisory, penulis buku Rancang Wang Dari Sekarang terbitan PTS Professional Sdn Bhd.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan