Selasa, 23 Mac 2010

ASAS UNTUK MENJADI KAYA

MENABUNG, BIJAK MELABUR ASAS UNTUK MENJADI KAYA
RAMAI yang berangan-angan mahu menjadi kaya, tetapi tidak ramai yang tahu bagaimana mahu mencapainya.Sebenarnya jika ditanya mereka yang sudah bergelar jutawan, faktor utama ke arah itu ialah menabung dan melabur.Persoalannya ialah apakah kita mempunyai pengetahuan dan kemahiran melabur dengan bijak?

Cuba kita tinjau bagaimana mereka yang menerima `durian runtuh' pampasan daripada pengambilan tanah atau duit jualan tanah membelanjakan wang mereka.Ternyata ramai yang menjadi kelabu mata sebaik menerima sejumlah wang begitu besar.Ramai yang membeli kereta mewah, membuat banglo atau berkahwin satu lagi.Selepas dua tahun berlalu, kereta besar terpaksa dijual kerana tidak mampu lagi membiayai kos penyelenggaraan dan kehidupan harian mereka menjadi susah kembali seperti dulu.

Jelaslah pengetahuan dan pemikiran mereka mengenai pelaburan masih terlalu daif.Sebagai pensyarah, penulis selalu juga meminta pelajar mengandaikan bahawa mereka akan diberikan hadiah RM100,000 dan meminta memikirkan tiga cara terbaik melabur wang itu.Pada umumnya 80 peratus pelajar gagal memberikan cadangan memuaskan.Jawapan yang diberikan lebih tertumpu kepada bagaimana membelanjakan wang itu.Kebiasaannya, penuntut yang memberikan idea pelaburan yang baik memperolehnya daripada ibu bapa atau membaca buku berkaitan pelaburan.

Malangnya budaya membaca buku sedemikian masih kurang di kalangan masyarakat kita.Asas faktor pengeluaran dalam ekonomi moden adalah sumber manusia,teknologi, sumber alam termasuk tanah dan modal.Semua faktor pengeluaran ini menuntut kepada pelaburan sama ada secara langsung atau secara tidak langsung.

Maka kemajuan ekonomi sesuatu masyarakat sudah pasti menuntut kepada budaya pelaburan yang sihat.Semua ahli masyarakat perlu melabur dalam pembangunan sumber manusia, teknologi, sumber alam semula jadi supaya produktiviti meningkat dan ini akan menyumbang kepada peningkatan taraf hidup.

Mereka yang tidak berpandangan jauh sudah tentu tidak sanggup berbuat demikian dan akan lebih gembira bersenang-senang sekarang daripada melabur untuk masa depan.Mereka yang bijak melabur sudah pasti akan membuat perkiraan mengenai pelaburan, pulangan bakal diperoleh dan risiko perlu ditangani untuk menjayakan sesuatu projek.Menerusi pelaburan itu, pendapatan mereka pada masa depan akan meningkat dan aset bertambah.

Pada zaman ekonomi global sekarang, kita sedang berdepan dengan pencabar dalaman dan luaran yang hebat dan kita tidak ada pilihan melainkan perlu bijak menyimpan dan melabur pendapatan lebihan.Untuk menjana lebihan pendapatan, pertama kita perlu bijak menjana pendapatan itu sendiri dan kemudian bijak pula dalam berbelanja.Kita perlu membezakan antara perkara diperlukan dan hanya cantik jika boleh dimiliki tetapi tidaklah diperlukan sangat.Perbelanjaan yang berhemah boleh menjana lebihan yang boleh disalurkan untuk melabur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan